Hiasan & Dekorasi


Setiap kediaman perlu mempunyai suasana yang nyaman dan segar, cantik bila dipandang dan selesa untuk dihuni. Bermula dari ruang dapur di mana kita melakukan aktiviti seperti memasak hingga ke bilik tidur di mana kita tidur dan berehat di malam hari, setiap ruang memainkan peranan sebagai gambaran kepada personaliti kita dan apa yang kita gemari.



Apa yang paling penting ialah setiap ruang dalam rumah kita kelihatan menarik, praktikal dan selesa. Salah satu cara untuk mempunyai kediaman yang mempunyai ciri-ciri tersebut adalah dengan menghias rumah tersebut dengan barang-barang dekorasi mengikut citarasa kita tanpa mengabaikan keselesaan kita apabila berada di dalam rumah.

Kepentingan Hiasan & Dekorasi

Hiasan dan dekorasi penting untuk menampakkan ruang supaya kelihatan berbeza berbanding ruang yang lain. Sebagai contoh, hiasan dan dekorasi di ruang makan semestinya berbeza dengan ruang tamu kerana fungsi ruangnya yang berbeza. Setiap ruang juga perlu dihias mengikut kreativiti kita sendiri supaya kita dapat mencapai kehendak ruang yang kita impikan selama ini.


Ruang yang dihias dengan barang-barang dekorasi yang berwarna-warni mampu membuatkan hidup kita ceria dan gembira. Setiap tona warna pada barang-barang dekorasi boleh memberikan impak yang positif dan membantu merehatkan minda kita yang letih bekerja. Apa yang paling penting, hiasan dan dekorasi yang kita letakkan di setiap ruang akan menjadikan ruang tersebut selesa, menarik dan praktikal buat kita.

Tips-tips Menghias

Pilih stail yang sesuai dengan karektor dan minat anda. Jika anda sukakan stail Inggeris, pastikan stail tersebut *masuk* dengan citarasa anda dan orang-orang lain yang tinggal bersama anda selesa dengan elemen-elemen *gah* yang ada pada stail tersebut. 



Anda juga boleh memilih warna tema untuk dekorasi anda jika anda mahu menghias setiap barang-barang dekorasi senada dengan perabot dan warna dinding atau lantai anda. Pemilihan warna tema tidak semestinya dalam warna yang sama malah anda boleh mencari skema warna yang sesuai dengan warna tema utama yang anda pilih.



Selain itu, pilih dekorasi yang sesuai dengan saiz dan keluasan ruang anda supaya anda dapat hidup dalam ruang yang selesa dan tenang. Cuba elakkan daripada meletakkan barang-barang dekorasi bersaiz besar seperti pasu bunga bersebelahan dengan sofa yang besar bagi mengelakkan ruang nampak sempit dan serabut.



Ketika menghias, lampu, perabot dan peralatan elektrik yang dipilih mestilah sesuai dengan barang-barang dekorasi anda. Anda boleh pilih *lampu sorot* atau spotlight untuk dihalakan ke arah barang-barang dekorasi kegemaran anda untuk menjadikan ia tampak menarik.



Paling penting semasa ingin menghias ruang dalam rumah, susun barang-barang dekorasi dengan elok dan teratur. Jangan biarkan barang-barang dekorasi tidak disusun elok dan bersepah kerana ia boleh membuatkan mata anda sakit bila melihatnya.



Tips-tips Barang-barang Dekorasi

Apabila meletakkan lukisan atau gambar, pastikan lukisan atau gambar berada pada aras pandangan mata anda. Selalunya aras pandangan mata normal bagi setiap manusia ialah 1500mm atau lebih kurang 5 kaki.




Anda juga patut memilih dekorasi yang sesuai dengan bajet anda. Jangan beli barang-barang dekorasi yang terlalu mahal jika anda boleh memperoleh barang-barang yang mempunyai rekabentuk yang sama tapi dengan harga yang lebih murah. Rajin-rajinlah membuat perbandingan harga di kedai-kedai yang berbeza supaya anda tidak menyesal apabila membelinya.


Pilih barang-barang dekorasi yang selamat dan tidak mudah rosak. Di sini, pemilihan material objek dekorasi adalah penting untuk anda teliti. Material yang diperbuat daripada kaca perlulah diletakkan di tempat yang selamat dan jauh dari jangkauan anak-anak kecil.


Cuba dapatkan dekorasi yang mempunyai banyak fungsi dan boleh menjimatkan ruang. Jam dinding yang cantik boleh menjadi salah satu barang dekorasi yang perlu ada dalam setiap ruang rumah kerana kerana fungsinya yang penting untuk mengetahui masa dan lokasinya yang elok tergantung di dinding. 


Akhir sekali, pastikan dekorasi yang anda pilih boleh memberikan inspirasi, membuatkan anda gembira dan tenang apabila melihatnya. Keindahan dalam rumah anda, hasil daripada barang-barang dekorasi yang anda pilih dan hias adalah selesa untuk tatapan mata dan orang-orang yang tinggal bersama-sama anda.



Comments

  1. kalau saya ada rumah sendiri satu hari nanti, nak kak aira jd consultant lah. hehe.. =)

    ReplyDelete
  2. thanks Sophie..nnti Sophie tolong design facade umah akak ye..huhu

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts